Tuesday, 4 February 2014

RETRET AWAL DI PERTAPAAN KARMEL 31 JANUARI - 2 FEBRUARI 2014

RETRET AWAL SEBAGAI PEMBUKA RETRET BAGI TAHUN 2014 DI PERTAPAAN KARMEL KAINGARAN, TAMBUNAN

TAMBUNAN – Sebagai memulai tahun baru 2014, pihak Pertapaan Karmel Kaingaran telah menjalankan Retret Awal bertarikh 31 Januari – 2 Februari 2014 yang telah disertai hampir 600 orang peserta dari ketiga-tiga Keuskupan Keningau, Kota Kinabalu dan Sandakan. Retret Awal adalah retret yang wajib diikuti sebagai persiapan seseorang untuk mengalami pencurahan Roh Kudus sebelum memasuki retret-retret yang lain. Terlihat penyertaan para belia yang ramai sangat menggembirakan pihak Pertapaan terutama penyertaan seramai 40 orang pelajar Kolej Matrikulasi Labuan yang mencuri perhatian.

Pada Misa Kudus pembukaan retret jam5:00 petang yang diselebrankan oleh Romo Gabriel CSE dari Indonesia. Dalam Homili,  Romo memberi pesan penting yang berikut, ‘Imanlah yang membolehkan kita masuk Syurga. Talenta itu adalah Iman dan Iman melahirkan manusia baru. Tambah Romo lagi, tanda iman diwujudkan melalui Pembaptisan kita. Dan Pembaptisan inilah menjadikan kita manusia baru. Apa konkritnya bentuk iman itu? Konkritnya adalah hidup di dalam Roh memikirkan tentang Allah. Ertinya talenta untuk sentiasa mengarahkan hidup kepada Allah. Talenta ini membantu kita melihat Allah. Kita bukan melihat penampakan-penampakan yang lain. Mengulas lanjut, Romo mengatakan bahawa tanda nyata kita dapat melihat Allah ialah sewaktu perayaan Ekaristi iaitu Konsekrasi Tubuh dan Darah Kristus. Maka, kita tidak perlu pergi ke mana-mana. Cukup pergi ke Gereja dan duduk di hadapan Tabernakel untuk melihat Allah. Talenta inilah yang seharusnya dikembangkan.

Sesi selanjutnya diteruskan dengan sesi pengarahan ceramah. Sesi 1 mengupas lanjut mengenai cinta kasih Allah. Sarana untuk membuat kita bahagia ialah pengalaman akan cinta kasih Allah dan begitu juga dalam hubungan sesama. Ketika kita merasa dicintai oleh Sang Pencipta, itu akan membuat kita bahagia. Namun, kita manusia harus bekerjasama dengan Tuhan. Kembali kita mengingat pesan Tuhan dalam Hukum Kasih yang terutama iaitu ‘Kasihilah Allah-Mu’ lalu ‘Kasihilah sesamamu manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.’

Kata-kata, ‘kita berbangga kerana kita manusia yang dicipta serupa dengan Allah’ menyangkut misi penyelamatan Yesus Kristus. Dalam Sesi ini ditekankan bahawa apabila manusia telah berdosa, mereka kehilangan kemuliaan Allah (Roma 3:23). Seperti umum ketahui, manusia menghadapi pelbagai cabaran di dalam keseharian mereka iaitu:-
1)      penyalahgunaan bidang-bidang teknologi
-          komunikasi renggang / hilang yang membawa kepada budaya pentingkan diri sendiri.
-          Pornografi yang akhirnya membuat manusia terikat dan meresap dalam fikiran.
2)      Budaya bunuh
-          Aborsi yang menjadi-jadi di serata tempat di dunia dan situasi yang sangat mengerikan yang merendahkan martabat dan harga diri manusia, baik si pelakunya mahupun mereka yang menjalankan pengguguran dengan menggunakan teknologi masa kini demi mengaut keuntungan semata-mata.
-          Euthanasia ialah suatu pembunuhan yang dilakukan secara halus, malah hampir tidak kelihatan iaitu bagi anak-anak yang merasa ibu bapa membebankan, maka mereka datang kepada pakar hospital atau klinik untuk memberi suntikan kepada ibu atau bapa lalu perlahan-lahan meninggal. Ertinya, memaksakan orang tua untuk mati sebelum tiba waktu yang sepatutnya dijemput oleh Tuhan.
Sedarilah bahawa situasi dunia saat ini sebenarnya sangat mengerikan. Kerana apa? Kerana manusia mengalami neraka di dunia ini dan bukan lagi mengalami syurga. Maka, marilah kita kembali kepada penyelamatan jalan-jalan yang telah Yesus Kristus sediakan iaitu lewat penderitaan dalam perjalanan Salib.

Setelah menyedari akan kuasa penyelamatan Sang Juruselamat kita, maka kita mahu melangkah masuk di dalam hidup baru dalam Roh. Nah, Sesi ini menjelaskan lebih lanjut ‘seperti apakah hidup baru itu’? Hidup baru itu ertinya meninggalkan hidup lama (segala dosa, kelemahan dan kelalaian). Kembali kita mahu menyedari bahawa Roh Kudus itu sudah ada dalam kehidupan kita apabila kita menerima Sakramen Pembaptisan dan kobaran api Roh Kudus yang bernyala itu dimarakkan lagi apabila kita menerima Sakramen Penguatan. Kita boleh mencontohi teladan kehidupan Santo Petrus yang dulunya seorang yang penakut dan sebanyak 3 kali menyangkal Yesus Kristus. Namun, saat Pentekosta, Petrus menjadi manusia baru.

Sesi seterusnya membicarakan mengenai menerima karunia dan bahasa Roh (Kis. 2) di dalam sikap taubat yang terus menerus. Perlu difahami bahawa ‘Tritunggal’ adalah satu dan sama dan Roh Kudus itu mempersatukan. Sebenarnya, kita sudah menerima karunia ini sewaktu menerima Sakramen Inisiasi (sakramen Pembaptisan dan sakramen Penguatan). Tiga rahmat dari buah karunia ini yang kita terima iaitu rahmat Pengudus (7 karunia Roh Kudus), rahmat Sakramental (7 Sakramen) dan Karisma (karunia yang kita terima semakin diperkukuhkan dan seterusnya membawa orang lain kepada Kristus). Manakala, karunia bahasa Roh (manifestasi Roh Kudus) ialah karunia doa bahasa Roh dalam Roh, tetapi jiwa dan budi kita juga harus turut berdoa. Namun, perlu diingat bahawa karunia bahasa Roh bukanlah jaminan bahawa kita sudah kudus.

Di dalam Homili Misa Kudus pada hari ke-2 retret, Fr. Giovanny menegaskan bahawa dosa mendatangkan kebahagiaan apabila ia disesali sungguh-sungguh dan ia membawa hidup baru. Maka, kita memerlukan Tuhan di dalam kehidupan kita.

Sesi yang terakhir merungkai tujuan asal menyertai retret Awal iaitu pertumbuhan di dalam talenta untuk melihat Allah. Sesi ini disampaikan oleh seorang anggota KTM. Beliau mengongsikan mengenai cara-cara untuk bertumbuh setelah menjadi manusia baru dan setelah menerima pencurahan Roh Kudus iaitu lewat doa, sakramen, belajar dan pelayanan. Di akhir sesi ini juga, satu sesi penjelasan KTM (Komuniti Tritunggal Mahakudus) disampaikan oleh Volunteer KTM Sabah. Pada saat ini, KTM Sabah telah melahirkan 3 orang Volunteer dan mereka ini telah menerima Binaan Khusus selama 1 bulan di Indonesia.

Selain mendengar sesi pengarahan ceramah, pengisian acara retret juga diisi dengan Misa Kudus, Adorasi iaitu penyembahan kepada Sakramen Mahakudus yang ditakhtakan di Altar dengan penghayatan penuh dalam kedua-dua spiritualitas Karismatik (pembaharuan hidup baru dalam Roh) dan spiritualitas Karmel (keterbukaan hati kepada Roh Kudus sehingga seluruh keberadaan terbenam dalam keheningan yang sadar) dan sesi puji-pujian yang dipimpin oleh anggota KTM di sepanjang retret.

Di akhir Misa Kudus penutupan retret Awal yang diselebrankan oleh Romo Gabriel CSE dan paderi membantu Fr. Giovanny CSE, Romo Gabriel sekali lagi membakar semangat para peserta retret dan umat yang menyertai untuk tetap setia kepada Yesus Kristus yang telah rela menderita sampai wafat di salib. Romo Gabriel turut menyuarakan keprihatinannya mengenai isu-isu semasa yang sedang berlaku di Negara kita terutama isu pengislaman dan tentang masa depan Gereja.

Bermula pada tahun 2014 ini, Misa Kudus penutupan retret berserta doa-doa penyembuhan akan dibuka kepada umat awam. Bangkit, Bergerak dan Wartakan! Tuhan memberkati.

Oleh:
Editor

Gambar-gambar sepanjang Retret Awal, 31 Januari – 2 Februari 2014

 Misa Kudus Pembukaan Retret Awal


 Romo Gabriel CSE


 Para peserta retret


 Wajah ceria para peserta retret


 Sesi Puji-Pujian oleh Volunteer KTM&AJK


 AJK anggota KTM membantu Action Song





 Beratur panjang mengambil makanan


 Peserta retret beratur mengambil makanan


 AJK anggota KTM bahagian makanan


 Anggota KTM bertugas bahagian AJK Makan


 Sesi pengarahan oleh anggota KTM


Antara belia yang menyertai retret Awal 

No comments:

Post a Comment